Thursday, February 11, 2016

Hukum Menyambut Valentine’s Day

Hukum Menyambut Valentine’s Day

Fenomena sebahagian remaja menjadikan Valentine’s Day sebagai perayaan paling diminati dan sangat-sangat ditunggu untuk diraikan bersama kekasih amat menggusarkan. Ia sebenarnya merupakan satu fenomena ajaib dan aneh kerana perayaan ini tidak pernah disisipkan secara rasmi di mana-mana kalender. Akan tetapi ia terus diingati dan diraikan saban tahun.
Valentines Day 2012Amalan songsang seperti ini sudah menjadi taqwim tahunan remaja dan semestinya penganut agama Kristian. Lantas, remaja Islam di Malaysia diseru agar tidak terpengaruh dan meraikan sambutan Hari Kekasih (Valentine Day) yang disambut pada 14 Februari ini. Sudah jelas bahawa sambutan Hari Kekasih ini salah di sisi agama Islam dan bercanggah dengan aqidah Islam itu sendiri.
Melalui sejarah Valentine, jelas ianya dapat disabitkan dengan budaya Kristian yang menyatakan Valentine’s Day bermula dari kematian tragis seorang Paderi yang bernama St. Valentine yang dibunuh oleh seorang Raja Romawi yang bernama Raja Claudius pada II (268-270M). Bermula dari kisah ini mereka telah mengabdikan St. Valentine sebagai seorang tokoh yang hebat dalam mempertahankan cinta dan dianggap sebagai simbol ketabahan, keberanian dan kepasrahan dalam menghadapi cubaan hidup. Maka, 14 Februari dijadikan sebagai hari perlambangan dalam memperingati kematian St.Valentine dan dianggap sebagai upacara keagamaan masyarakat Kristian.
Hukum Menyambut Valentine’s Day
Sebenarnya, majoriti tokoh agama telah menyatakan bahawa menyambut atau meraikan Sambutan Hari Valentine ini adalah bertentangan dengan Syarak. Menurut Panel Kajian Aqidah (PKA) dan Panel Kajian Syariah (PKS) Jabatan Kemajuan Islam Malaysia amalan ini adalah haram dan bertentangan dengan ajaran Islam.”
Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia kali ke-71 yang bersidang pada 22 hingga 24 November 2005 memutuskan bahawa amalan merayakan Hari Valentine tidak pernah dianjurkan oleh Islam. Roh perayaan tersebut mempunyai unsur-unsur Kristian dan amalannya yang bercampur dengan perbuatan maksiat adalah bercanggah dan dilarang oleh Islam. Oleh itu amalan meraikan Hari Valentine tidak digalakkan oleh agama Islam.
Berikut adalah sikap-sikap yang perlu dihindari oleh remaja Islam pada Hari Kekasih :
  1. Sikap untuk keluar berfoya-foya sesama kekasih dan mengadakan majlis untuk menyambut hari tersebut dengan mengadakan parti atau majlis seumpamanya.
  2. Menghantar kad-kad ucapan yang tertera kata-kata Valentine Day dan pada kad-kad tersebut terdapat gambar pari-pari yang mempunyai dua sayap yang menjadi simbol kepercayaan agama kristian.
  3. Menulis ucapan kata-kata cinta di dalam kad yang diutuskan dengan menyatakan keinginan cinta kepada kekasih kerana ianya juga sikap mempamerkan rasa gembira dan percaya akan hari tersebut.
  4. Kebanyakan negara-negara Barat, parti-parti diadakan sempena hari tersebut disambut dengan pesta seks dan tari-menari. Kebanyakan mereka menghantar hadiah-hadiah seperti bunga ros dan sekotak coklat kepada sesiapa yang mereka cintai.
  5. Menghantar pesanan ringkas (SMS) kepada kekasih untuk meluahkan rasa sayang bersempena dengan Hari memperingati kekasih (Valentine Day) sebagai tanda percaya akan “keajaiban” hari tersebut.
Kesimpulannya bagi menyelamatkan agama dan ummah dari terus musnah akibat impak amalan-amalan bertentangan dengan aqidah dan syariah sempena Valentine’s Day ini perlulah disemaikan dalam setiap minda kita mewar-warkan larangan Sambutan Valentine’s Day dari terus diraikan oleh umat Islam khususnya di Negara kita. Wujudkanlah perasaan anti Valentine’s Day di dada dan minda, hadirkanlah rasa benci dan tidak akan meraikannya melalui penyertaan aktiviti-aktiviti yang menyalahi aqidah, syarak dan tamadun manusia.

No comments: