Friday, February 26, 2016

Benarkah Nabi Yusuf a.s Kahwini Zulaikha?


Berikut beberapa riwayat yang sempat ana rujuk ..

قال محمد بن إسحاق رحمه الله :

" لما قال يوسف للملك : ( اجعلني على خزائن الأرض إني حفيظ عليم ) قال الملك : قد فعلت ! فولاه فيما يذكرون عمل إطفير ، وعزل إطفير عما كان عليه ، يقول الله : ( وكذلك مكنا ليوسف في الأرض يتبوأ منها حيث يشاء ) ، الآية.

قال : فذكر لي - والله أعلم - أن إطفير هَلَك في تلك الليالي ، وأن الملك الرَّيان بن الوليد، زوَّج يوسف امرأة إطفير " راعيل " ، وأنها حين دخلت عليه قال : أليس هذا خيرًا مما كنت تريدين ؟ قال : فيزعمون أنها قالت : أيُّها الصديق ، لا تلمني ، فإني كنت امرأة كما ترى حسنًا وجمالا ، ناعمةً في ملك ودنيا ، وكان صاحبي لا يأتي النساء ، وكنتَ كما جعلكَ الله في حسنك وهيئتك ، فغلبتني نفسي على ما رأيت .

فيزعمون أنه وجدَها عذراء ، فأصابها ، فولدت له رجلين : أفرائيم بن يوسف ، وميشا بن يوسف ، وولد لأفرائيم نون ، والد يوشع بن نون ، ورحمة امرأة أيوب عليه السلام. " انتهى.

Muhammad bin Ishak rahmahullah 
( tokoh sirah terkemuka ) di dalam kitab sirahnya menceritakan, ketika Nabi Yusuf berkata:

“Jadikanlah aku orang yang menjaga perbendaharaan Mesir, sesungguhnya aku adalah seorang yang pandai menjaga dan seorang yang berpengetahuan.” (Yusuf: 55)

Lalu raja Mesir memperkenankan permintaan Nabi Yusuf tersebut, dan beliau melucutkan jawatan Itfir (إطفير) seorang pembesar Mesir atau suami kepada Zulaikha. Seterusnya Ibn Ishak menyebut: “Dan disebut kepadaku, bahawa Itfir, meninggal dunia pada malam tersebut. Setelah itu Raja Mesir bernama al-Rayyan bin al-Walid mengkahwinkan Nabi Yusuf dengan isteri Itfir iaitulah Ra’iel (Zulaikha). Apabila Ra’iel masuk menemui Nabi Yusuf, baginda berkata: “Bukankah ketika ini lebih baik berbanding apa yang kamu kehendaki (dahulunya)?” 

Kata Ibn Ishak seterusnya: “Lalu orang ramai mendakwa Zulaikhapun menjawab dengan berkata: “Wahai al-Siddiq, jangan engkau mencerca aku, sesungguhnya aku seorang wanita seperti engkau sendiri lihat memiliki rupa dan cantik, akan tetapi suamiku adalah seorang yang tidak mendatangi wanita (tidak dapat menggauli isterinya). Sedang kamu pula seorang yang Allah jadikan memiliki ketampanan dan kehaibahan, lalu menyebabkan daku dikalahkan oleh diriku seperti apa yang telah engkau perhatikan.” 

kata Ibn Ishak : “Orang ramai juga mendakwa setelah itu Nabi Yusuf mendapatinya (Zulaikha atau Ra’iel) masih perawan, mereka bersama lalu dikurniakan dua orang anak lelaki iaitulah Ifrathim bin Yusuf 
(إفراثيم بن يوسف) dan Minsya bin Yusuf
(منشا بن يوسف).

Dari Ifrathim lahir pula Nun, bapa kepada Yusa’ bin Nun dan Rahmah Isteri Ayyub AS.”

Naqal yang lain ;

رواه ابن أبي حاتم في " التفسير " (7/2161)، والطبري في " جامع البيان " (16/151) من طريق سلمة ، عن ابن إسحاق به .

kisah ini juga ( seperti riwayat Ibnu Ishak ) diriwayatkan oleh Ibn Abi Hatim di dalam al-Tafsir 7/2161, dari jalan Salamah daripada Ibn Ishak. Demikian juga al-Tobari di dalam Jami’ al-Bayan 16/151.

Begitu juga :

وورد نحوه عن زيد بن أسلم التابعي الجليل ، وعن وهب بن منبه المعروف بالرواية عن الإسرائيليات .
نقل ذلك السيوطي في " الدر المنثور " (4/553)

Terdapat juga kisah yang seumpama ini dari Zaid bin Aslam seorang Tabi’ie lagi seorang yang mulia, dan dari Wahab bin Munabbih yang terkenal sebagai seorang yang suka mendatangkan riwayat dari Isra’iliyyat (sumber cerita dari Ahli Kitab).

Perkara ini dinukilkan juga oleh al-Suyuthi di dalamal-Durr al-Manthur 4/553

Kesimpulan : 
Berdasarkan rujukan ana yang terbatas ini.. kisah perkahwinan Nabi Yusuf 'Alaihissalam dan Zulaikha secara zahirnya bersumberkan riwayat ahli kitab. Kita diperintahkan tawaqquf ( tidak menyatakan ia benar dan tidak juga mengatakan ia suatu pendustaan ) pada riwayat-riwayat ahli kitab yang tidak ada dalam sumber ilmu umat Muhammad 
( al-Quran dan al-Hadis ).

Rasulullah sallallahu 'alaihi wassalam berpesan ;

(لَا تُصَدِّقُوا أَهْلَ الْكِتَابِ وَلَا تُكَذِّبُوهُمْ وَقُولُوا آمَنَّا بِالَّذِي أُنْزِلَ إِلَيْنَا وَأُنْزِلَ إِلَيْكُمْ وَإِلَهُنَا وَإِلَهُكُمْ وَاحِدٌ وَنَحْنُ لَهُ مُسْلِمُونَ) رواه البخاري (4485)

 “Jangan kamu semua mempercayai Ahl al-Kitab dan jangan juga mendustakan mereka. Katakanlah kami telah beriman dengan apa-apa yang telah diturunkan kepada kami dan apa-apa yang telah diturunkan kepada kamu semua, dan tuhan kami dan kamu semua adalah satu, dan kami semua menyerah diri kepadaNya (Yang Satu Itu).” (HR. al-Bukhari : 4485 )  

Para alim ulama yang memasukkan kisah ini dalam kitab-kitab tafsir mereka tidak lebih daripada meletakkan cerita tambahan dari sumber ahli kitab yang mana umat di zaman itu terdiri daripada ilmuan dan orang-orang arif yang tahu kedudukan khabar ahli kitab.

Bahkan al Imam Ibnu Katsir dalam muqaddimah tafsirnya menjelaskan disiplin dalam menerima khabar ahli kitab sebelum beliau juga memuatkan khabar ahli kitab di dalam tafsirnya itu.

Dari itu berhussnudzan terhadap para ulama lebih baik dari kita menyalahkan mereka apatah lagi menuduh mereka berdusta.

Dari itu :

Manafikan Nabi Yusuf berkahwin dengan Zulaikha dengan penuh yakin adalah salah dari segi prinsip yg dianjurkan oleh hadis di atas.

Begitu juga meyakini Nabi Yusuf berkahwin dengan Zulaikha dengan penuh keyakinan adalah salah dari prinsip yang sama.

Menghentikan perdebatan pada perkara ini lebih molek dari membicarakan hal yang kita sebenarnya tidak ketahui kesahihannya.

Jadi janganlah mendabik dada mendakwa berada di pihak yang benar kerana hakikat kebenaran kisah ini hanya dalam ilmu Allah.

والله أعلم . والعفو منكم.. أخوكم محمد حذري البنداني

Tazkirah Friday ini telah Ana naqalkan secara terus dari guru yang mulia Us.Hezry al-bindany.

Semoga bersama mendapat manfaat.

Selamat beramal dan beristiqomah.

No comments: