Tuesday, July 01, 2014

BENARKAH NABI S.A.W DAN SAHABAT BERPERANG DALAM KEADAAN BERPUASA?

BENARKAH NABI S.A.W DAN SAHABAT BERPERANG DALAM KEADAAN BERPUASA?


Soalan ini sering ditanya kepada saya kerana terdapat ramai penceramah yang menyebut begitu, kata mereka yang bertanya.
Untuk menjawab soalan ini mari kita baca hadis Nabi s.a.w yang diriwayatkan oleh al-Imam Muslim daripada Abu Sa'id al-Khudri:
سَافَرْنَا مَعَ رَسُولِ اللَّهِ -صلى الله عليه وسلم- إِلَى مَكَّةَ وَنَحْنُ صِيَامٌ قَالَ فَنَزَلْنَا مَنْزِلاً فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ -صلى الله عليه وسلم- « إِنَّكُمْ قَدْ دَنَوْتُمْ مِنْ عَدُوِّكُمْ وَالْفِطْرُ أَقْوَى لَكُمْ ». فَكَانَتْ رُخْصَةً فَمِنَّا مَنْ صَامَ وَمِنَّا مَنْ أَفْطَرَ ثُمَّ نَزَلْنَا مَنْزِلاً آخَرَ فَقَالَ « إِنَّكُمْ مُصَبِّحُو عَدُوِّكُمْ وَالْفِطْرُ أَقْوَى لَكُمْ فَأَفْطِرُوا ». وَكَانَتْ عَزْمَةً فَأَفْطَرْنَا
(Kami bermusafir bersama Rasulullah s.a.w ke Mekah (untuk melakukan pembukaan Mekah). Kami sampai di satu tempat lalu Rasulullah s.a.w bersabda: "Kamu semua sedang menghampiri musuh kamu sedangkan buka puasa itu lebih kuat untuk kamu".
(Kata Abu Said al-Khudri) :Maka itu satu kelonggaran (untuk terus berpuasa), maka dalam kalangan kami ada yang berpuasa dan ada yang berbuka. Kemudian kami sampai ke satu tempat yang lain lantas Rasulullah s.a.w bersabda: "Kamu sedang berhadapan dengan musuh kamu, buka puasa itu lebih kuat untuk kamu maka berbukalah".
(Kata Abu Said al-Khudri): Maka itu satu kewajipan maka kami pun berbuka.
Dalam Jabir r.a: Bahawa Rasulullah s.a.w keluar ke Mekah pada tahun pembukaan Mekah pada bulan Ramadan. Baginda berpuasa sehingga sampai Kura’ al-Ghanim. Orang ramai turut berpuasa. Lalu diberitahu kepada baginda: “Sesungguhnya puasa telah membebankan orang ramai, mereka sedang menunggu apa yang engkau akan lakukan”. Lalu selepas Asar, baginda meminta sebekas air dan meminumnya” (Riwayat Muslim).
Dalam riwayat Muslim juga menyebut dalam peristiwa di atas di mana baginda memarahi mereka yang enggan berbuka setelah baginda berbuka. Baginda menyebut: “Mereka itu menderhaka! Mereka itu menderhaka!”.
Ertinya dakwaan Nabi s.a.w menyuruh sahabat-sahabat berpuasa semasa perang adalah tidak benar.
Para penceramah hendaklah berhati-hati ketika menyebut sesuatu fakta berhubung dengan Nabi s.a.w

Tazkirah Dari: Dr. Mohd Asri Zainal Abidin 

No comments: