Sunday, June 08, 2014

Kelebihan Bulan Syaaban


Tazkirah
10Syaaban 1435@8/6/2014

Kelebihan Bulan Syaaban

Persoalan seterusnya yang selalu timbul dalam masyarakat kita ialah amalan pada malam nisfu syaaban. Menurut al-Qadhi Abu Bakar Ibnul Arabi , tidak ada satu hadis sahih mengenai keutamaan malam nisfu syaaban, dan semua hadis mengenainya bertaraf dhaif yang tidak boleh diamalkan. Walau bagaimanapun terdapat hadis mengenai fadilat malam nisfu syaaban yang dianggap Hasan oleh sebahagian ulamak . Hadis tersebut ialah: “Allah melihat kepada hamba-hambaNya pada malam nisfu Syaaban, maka Dia ampuni semua hamba-hambaNya kecuali musyrik (orang yang syirik) dan yang bermusuh (orang benci membenci) (Riwayat Ibn Hibban, al-Bazzar dan lain-lain). Al-Albani mensahihkan hadis ini dalam Silsilah al-Ahadis al-Sahihah.

Hadis ini tidak mengajar kita apakah bentuk amalan pada malam berkenaan. Oleh itu, amalan-amalan tertentu pada malam tersebut (sekiranya dianggap sebagai satu kemestian dan wajib seperti ‘mesti’ membaca Yasin sebanyak tiga kali, dan menunaikan solat-solat tertentu sempena nisfu syaaban) adalah bukan ajaran Nabi s.a.w. Inilah juga pendapat majoriti ulamak seperti Sayyid Sabiq, Prof Mutawalli Sya'rawi, Dr Abdul Karim Zaidan dan sebagainya. Oleh yang demikian, kita tidak boleh melakukan amalan-amalan yang tidak diasaskan oleh nabi dan yang bercanggah dengan hukum syarak seperti menunaikan solat sunat khusus untuk panjang umur pada malam nisfu syaaban.
Akan tetapi, ini bukanlah bermakna bahawa kita tidak boleh melakukan amalan tertentu pada malam nisfu syaaban seperti bacaan Yasin, sebaliknya amalan tersebut boleh diteruskan, namun dengan syarat kita tidak ‘mewajibkan’ bacaan Yasin sebanyak 3 kali dan seumpamanya. Di samping itu, alangkah baiknya juga kalau pada malam itu juga diisi dengan program pengajian ilmu agar pemahaman terhadap ajaran Islam semakin meningkat dari semasa ke semasa.

Justeru, amalan-amalan sunat seperti membaca al-Quran, berzikir, solat sunat, berpuasa dan yang seumpamanya hendaklah dilaksanakan bukan sahaja pada malam nisfu syaaban, akan tetapi kita hendaklah beristiqamah melaksanakan amalan-amalan kebajikan tersebut pada bila-bila masa sahaja siang ataupun malam. Sesungguhnya apabila kita dapat melaksanakan sesuatu amalan dengan penuh keikhlasan dan amalan tersebut bertepatan dengan hukum syara', maka kita akan tergolong daripada umat Islam yang menuju ke arah kebahagiaan di dunia dan di akhirat. Perbanyakkanlah amalan sunat di bulan Syaaban sebagai suatu persediaan menyambut kedatangan bulan Ramadhan al-Mubarak.

Wassalam

No comments: