Friday, September 20, 2013

Mujahadah Hawa Nafsu



Dari Abu Muhammad Abdullah bin Amru bin Al-‘Ash RA, katanya: “Telah bersabda Rasulullah SAW: ‘Tidak benar-benar beriman seseorang daripada kamu sehingga hawa nafsunya menuruti apa yang aku bawa.”
(Hadis ini hadis hasan sahih yang kami riwayatkannya dari kitab al-Hujjah dengan sanad sahih.

Ada beberapa pengajaran yang boleh kita pelajari:
1.Hadis ini menerangkan bahawa salah satu daripada tuntutan iman bagi seseorang ialah hawa nafsunya mestilah tunduk dan menurut ajaran yang dibawa oleh Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW.

2.Sekiranya dia mengutamakan hawa nafsunya daripada mengamalkan ajaran Islam atau menyintai maksiat daripada amal kebajikan, maka imannya masih tidak sempurna.

3. Ungkapan ‘tidak benar-benar beriman’ dalam maksud hadis di atas bererti iman tidak sempurna, masih cacat atau tempang, bukan bererti telah jatuh kufur. Seseorang itu hanya jatuh kufur apabila dia menafi atau menolak mana-mana ajaran Islam.

4. Mujahadah hawa nafsu (berjihad melawan hawa nafsu) adalah mujahadah yang berat, yang tidak tertanggung dan tidak mampu dilaksanakan kecuali oleh orang yang benar-benar ikhlas beriman dan mencintai Allah serta Rasul-Nya.

Mujahadah bermaksud “berusaha untuk melawan dan menundukkan kehendak hawa nafsu.” Dalam sebuah hadis bertaraf hasan, nabi bersabda, “Seorang mujahid (iaitu seorang yang berjihad) ialah dia yang melawan hawa nafsunya kerana Allah.” Mengikut Said Hawa dalam Al-Asas fit Tafsir, “Secara dasarnya melawan hawa nafsu bermaksud menundukkan nafsu agar ia mengikut kehendak Allah dalam setiap perkara.” Apabila nafsu dapat dikalahkan seseorang akan mengutamakan perkara yang dicintai Allah dan mengetepikan kehendak peribadi.

Dalam Ihya Ulumuddin Imam Al-Ghazali berkata, “Antara tanda kecintaan hamba kepada Allah ialah dia mengutamakan perkara yang disukai Allah daripada kehendak nafsu serta peribadi, sama ada dalam aspek zahir atau batin. Oleh itu seseorang yang mencintai Allah sanggup memikul kerja-kerja yang sukar serta sanggup melawan hawa nafsunya kerana Allah.

No comments: