Wednesday, June 16, 2010

Menuju Solat Menghadap Allah

Tanda Islamnya kita ialah kita mendirikan solat lima waktu.
Tanda berimannya kita ialah dalam solat kita khusyu’ menghadapNya.
Kata Allah swt,
Sungguh beruntung orang-orang yang beriman, iaitu orang-orang yang khusyu’ solatnya” (Al-Mu’minun:1-3).
Kalau orang beriman itu adalah orang yang khusyu’ solatnya, ini bererti orang yang tidak khusyu’ solatnya adalah orang yang TIDAK BERIMAN?!
Wahai diri apakah  selama ini kita hanya menipu Allah yang kita sudah beriman sedang solat kita tidak menentu khusyu’nya?”
Kata Nabi saw, pahala solat belum tentu kita dapat sepenuhnya. Ia bergantung kepada kualiti solat yang kita lakukannya:
Sesungguhnya seorang lelaki apabila selesai menunaikan solat,  tidak ditulis pahala untuknya melainkan sepersepuluh, sepersembilan, seperlapan, sepertujuh, sepernam, seperlima, seperempat, sepertiga atau seperdua ” (Riwayat Imam Ahmad, Abu Daud dan Ibnu Hibban dari ‘Ammar bin Yasir r.a..
Tanyalah diri ” Wahai diri, berapalah bahagian pahala  yang kamu dapat setiap kali  solat dan sudah berapa yang terkumpul sepanjang  bertahun-tahun hidup.” Diri tidak bisa menipu lagi kerana dia tahu solat jenis apa yang dipersembahkan pada Allah selama ini.
Astaghfirullahil ‘Azhim…!!
Kata ulama’:
Khusyu’ itu tidak datang sendiri tetapi perlu diusahakan secara berterusan. Apabila dapat memilikkinya ia adalah lebih baik dari dapat memiliki seisi dunia
Kita bertanya lagi pada diri, “Wahai diri yang malang, kamu sudah bekerja keras untuk meraih ijazah. Kamu bekerja bermati-matian untuk mendapat pengiktirafan ketua pejabat. Kamu  berusaha kuat untuk memiliki hati orang yang kamu cintai. Kamu bekerja keras untuk membahagiakan keluarga. Tetapikamu terlupa berusaha untuk mencari yang lebih bernilai dari seisi dunia iaitu membina khusyu’ dalam ibadah. Bukankah ia penentu kualiti hamba jenis apa kamu di mata Allah.
Berapa banyakkah kita habiskan wang untuk meraih ijazah? Berapa tahunkah kita membina kerjaya dengan pulang ke rumah hingga larut malam? Berapa ribuan jamkah waktu yang sudah kita habiskan untuk semua itu?
Bilakah kali terakhir kita berusaha secara serius membina khusyu’?
Tubna ila ALlah, wa raja’na ila ALlah, wa nadimna ‘ala ma fa’alna.
Bangunlah. Ambillah sejadah dan pakaian solat. Berbisklah padaNya,
Dengan nama Allah yang Maha Pengasih dan Maha Penyayang. Allllaaah……….kasihilah aku ….sayangilah aku……aku hambamu ya Allah.
Tundukkan nafsu. Langkahkan kaki dengan tawadhu’ menuju tempat wudhu’. Tumpukan fikiran kepada Allah yang menunggu kehadhiran hati kita. Biarkan roh kita yang sedang dahaga merasa bahagia di saat ini kerana ia terlepas dari himpitan nafsu. Rasakan kelembutan air menyirami jasad kita. Ia bersih dan membersihkan diri dan dosa2 kita.  Air ciptaan Allah yang sangat lembut dan menyegarkan ini boleh saja menjadi ganas apabila membentuk badai. Namun dalam ganas atau lembut ia tetap tunduk dan akur kepada hukum Pencipta. Ia mungkin saja merasa bahagia diambil untuk berwudhu walaupun selepas itu ia akan mengalir dengan kotoran yang lain.
Air bertasbih, lantai batu yang kita pijak juga bertasbih. Darah kita bertasbih serentak dengan denyutan jantung tiada hentinya. Kini mulut kita sama-sama menyebut “Allah”…..maka bertasbihlah segala yang ada di sekeliling kita dalam rentak yang harmoni yang hanya dapat dirasakan oleh jiwa yang khusyu.
Dengan air wudhu yang masih menitik di badan, tangan ditadahkan dan mulut berbisik pada Tuhannya:
“Aku bersaksi bahawa tiada Tuhan selain Allah tiada sekutu bagi-Nya, dan aku bersaksi bahawa Muhammad itu adalah hamba dan utusanNya. Allah jadikanlah aku dari kalangan orang yang banyak bertaubat dan jadikanlah aku dari kalangan orang yang menyucikan diri)”
Kita melakukannya kerana Rasullah saw. pernah bersabda
“Sesiapa yang mengambil wuduk dengan baik kemudian dia berkata,Asyhadu al laa ilaaha illAllah wahdahu laa syarikalah, wa asyhadu anna Muhammadan ‘Abdahu wa rasulluh, Allah hummaj ‘alni minat tawwaabin, waj’alni minal mutatohhiriin akan dibuka untuknya kesemua lapan pintu-pintu syurga agar dia memasukinya dari mana dia suka.
(Hadis Riwayat Al-Tarmizi(50);Sahih:Sahih Al-Tarmizi(55) dan Al-Nasai(148);Sahih:Sahih Al-Nasai(148))
Inilah langkah-langkah menuju khusyu’ dalam solat. Kita tidak tahu apakah ini adalah wudhu yang terakhir dan solat yang terakhir kerana nyawa kita ada dalam genggamanNya. Saidina Abu Bakar akan menggigil badannya di saat2 begini ketika melangkah menuju solat…kita bagaiamana pula?
Berdiri di atas sejadah penuh tawadhu’, bisikkan lagi dengan tenang,
“ALLLLAAAAHU AKBAR…….Allah, Tuhanku, Engkaulah yang Maha Besar, aku hanya insan kerdil datang menghadapkan diri padaMu, terimalah aku”
Allah itu Maha Pengasih, Maha Mendengar, Maha Mengetahui. Kalau kita datang dengan berjalan Dia akan datang dengan berlari……. Kini Dia sedang melihat dengan penuh rahmah walaupun kita tidak melihatNya. Inilah Khaleq yang tidak pernah bosan mendengar curahan hati hambaNya. Semakin kita rasa bergetar semakin mencurah kasihNya.
Ya. Rabb. Tidak mampu kami melakukannya tanpa bantuanMu. Berikanlah kami hati yang sentiasa mencintaiMu. Hati yang mencintai apa yang Engkau cintai. Hati yang menyayangi orang2 yang Engkau sayangi. Jangan biarkan kami sendiri walaupun sesaat tanpa bantuanMu. Usah biarkan hati kami yang lemah ini dikotori oleh nafsu dan iblis sehingga terhijab doa dan rayuan kami kepadaMu.  Ya Ilahi, berkatilah mereka yang membaca tulisan ini moga mereka mendapat kebaikan darinya.

No comments: